Monday, October 1, 2007

Pembangunan lebih 50 hektar wajib dapat kelulusan EIA

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Setiap pembangunan di kawasan melebihi 50 hektar, pihak pemaju diwajibkan mendapat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum memulakan sebarang aktiviti pembangunan.
Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Sazmi Miah berkata, dalam kes di Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam, JAS mendapati pemaju terbabit tidak mempunyai kelulusan EIA.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, di sini, hari ini, beliau bagaimanapun berkata:
``Berkemungkinan pembangunan di Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam telah dipecahkan kepada blok-blok kecil yang kurang daripada 50 hektar bagi mengelakkan prosedur EIA.
``Keadaan ini menyebabkan pembangunan berangkai telah berlaku di kawasan seluas 1,200 hektar tersebut dan ia akan membawa kepada kemusnahan alam sekitar yang tidak terkawal,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia baru-baru ini yang mendedahkan Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam kini menghadapi kemusnahan ekologi setelah dihimpit pembangunan di sekelilingnya.
Taman Pertanian yang diwujudkan pada tahun 1986 itu hampir menjadi pulau kerana rata-rata garis sempadan kawasan tersebut sedang dibangunkan sebagai kawasan penempatan.
Menurut Sazmi, menerusi EIA, pihak beliau akan dapat mengkaji sama ada kawasan-kawasan hutan yang hendak dibangunkan akan dapat berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan keseimbangan alam sekitar.
``Kelulusan bagi pembangunan di Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam adalah di luar kawalan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kerana ia diwartakan di bawah Hutan Simpan Negeri Selangor.
``Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor mempunyai kuasa bagi mengubah status mana-mana hutan simpan di Selangor untuk digazet sebagai kawasan pembangunan,'' katanya.
Kata Sazmi, beliau menyarankan undang-undang alam sekitar dipinda semula bagi membolehkan EIA dilakukan secara menyeluruh dan tidak terhadap kepada kawasan melebihi 50 hektar sahaja supaya pembangunan secara besar-besaran di setiap negeri dapat dipantau oleh kementeriannya.
``Dari segi ekologi, tidak ada apa lagi yang boleh kita lakukan untuk memulihkan semula Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam kerana pembangunan yang berlaku telah memusnahkan keseimbangan alam sekitar kawasan tersebut,'' katanya.

No comments: