TAJUK utama akhbar dan disusuli berita utama yang bertajuk ‘10 tahun baru bertindak’ hanyalah dua daripada beratus berita kegiatan jenayah alam sekitar yang didedahkan media sekian lama.
Hasilnya? Tidak pasti. Tujuan media mendedahkan isu-isu itu bukan untuk mencari salah atau mempunyai ‘agenda’ tetapi adalah untuk membuka mata semua pihak atas kegiatan itu.
Memetik kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam: “Kalau media melaporkan sesuatu, mereka hanya memainkan tugas untuk memperjuangkan kepentingan orang ramai.”
Kegiatan tersebut jika tidak diambil peduli akan menjadi barah dan akhirnya boleh mengancam nyawa, kesihatan manusia dan alam sekitar yang kita kongsi ini.
Semua pihak, baik Jabatan Alam Sekitar (JAS), atau pihak-pihak berkuasa tempatan harus memastikan alam sekitar ini adalah agenda utama yang perlu diberi perhatian.
Sisa-sisa toksik, aluminium dan logam berbahaya yang dibuang tanpa pengawalan akan menyebabkan sistem ekologi terganggu. Ia berkait dengan sistem-sistem lain yang akhirnya mewujudkan ‘barah’ kepada keseluruhan sistem alam.
Jika ini berlaku, secanggih mana sekalipun rawatannya tidak akan berguna.
Sebenarnya, pihak-pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa-sisa toksik ini tidak ambil peduli atas apa yang berlaku di sekeliling mereka, asalkan dapat mengaut keuntungan yang banyak.
Orang seperti inilah yang perlu dihukum sekeras-kerasnya atas jenayah alam sekitar.
Sudah banyak gesaan dibuat agar undang-undang lebih keras atas jenayah ini digubal.
Jika Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi baru-baru ini mencadangkan pesalah pencemar sistem bekalan air dikenakan hukuman mati, tidak keterlaluan, jika Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar patut mengikuti langkah sama.
Telah tiba masanya, kita tidak lagi hanya bersorak dan mengambil tindakan semasa isu itu panas dan selepas itu semua pihak lupa. Isu pelupusan sisa aluminium sekarang adalah isu yang akan terus didedahkan. Tapi sampai bila?
Kita khuatir, jika berita ini didedahkan terlalu kerap ia tidak akan lagi menjadi nilai berita. Jika itu berlaku, tiada siapa lagi yang akan peduli.
Oleh itu, satu sistem pengawalan, pemantauan dan penguatkuasaan kemas dan mantap dapat dilaksanakan oleh JAS mahupun pihak lain agar sistem ekologi dan biodiversiti kita terpelihara.
Lebih penting daripada itu, ‘manusia-manusia’ yang melaksanakan tanggungjawab itu harus amanah, ikhlas, bersih dan dedikasi bagi menjamin sistem tersebut terlaksana.
Jika tidak ia akan menjadi sia-sia – seperti apa yang berlaku sekarang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment