CYBERJAYA 11 April - Kedudukan projek insinerator pertama Malaysia di Broga, Semenyih, kini bergantung pada laporan hasil Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting hari ini.
``DOE (Jabatan Alam Sekitar) mesti puas hati mengikuti semua peraturan, undang-undang alam sekitar, kemudian keputusan, hasil siasatan EIA akan menentukan sama ada projek itu boleh dilaksanakan atau tidak,'' kata beliau.
``Kerajaan akan melulusan projek RM1.5 bilion itu dengan syarat EIA dipatuhi dengan ketat,'' katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Kemasyarakatan Rumah Bijak Cyberia bernilai RM5 juta dan penyerahan kunci kepada 10 pembeli unit kondominium, di situ.
Ong diminta mengulas tentang bantahan baru penduduk Broga dan kawasan berhampiran yang menyerahkan petisyen mengandungi 1,077 tandatangan ke ibu pejabat JAS di Putrajaya semalam melahirkan kebimbangan mereka berhubung kawasan longgokan sampah di kawasan tadahan air.
Tahun lalu, penduduk berkenaan membuat aduan polis mengenai cadangan membina insinerator bagi tujuan pelupusan sampah.
Ong berkata jika projek itu dibuktikan tidak selamat dari segi alam sekitar oleh DOE, kerajaan tidak akan membenarkan pembinaannya.
Kerajaan, katanya, tidak akan bertolak ansur dalam hal keperluan alam sekitar dan piawaian alam sekitar antarabangsa yang lain.
Beliau percaya laporan EIA akan siap sedikit masa lagi.
Insinerator itu pada awalnya dirancang dibina di Kampung Bohol, Puchong, tetapi selepas bantahan penduduk, ia dipindahkan ke Broga.
Terletak di kawsan seluas 265 hektar, insinerator itu dijangka mula beroperasi pada 2007 dan akan dapat mengendalikan 1,500 tan metrik bahan buangan sehari. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment