Monday, October 1, 2007

Alam sekitar: Pakar Indonesia ikuti kursus di Malaysia

JAKARTA 24 Jun - Pemerintah Indonesia akan menghantar sekumpulan hakim, pendakwa raya dan pegawai kanan polis untuk menjalani kursus penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di Malaysia mulai bulan depan.
Pembantu kepada Menteri Negara Alam Sekitar Indonesia, Effendi Sumardja berkata, langkah penghantaran adalah sebagai proses pembelajaran dalam usaha mempertingkatkan undang-undang alam sekitar di Indonesia.
Beliau berkata, pemerintah Indonesia memilih Malaysia kerana Malaysia tegas dalam soal pelaksanaan undang-undang alam sekitar sehingga mereka yang melakukan kesalahan tidak pernah terlepas daripada dihukum. ''Ini kerana dalam setiap kes, pihak berkuasa Malaysia menyertakan bukti cukup kukuh sehingga mereka yang melakukan kesalahan itu tidak mampu berdolak-dalih.''
Effendi berkata, di kalangan negara ASEAN, Indonesia dianggap paling lemah dalam bertindak terhadap mereka yang mencemarkan alam sekitar.
''Akibatnya gejala itu terus berlaku sehingga mengganggu negara ASEAN seperti peristiwa pembakaran hutan yang mengakibatkan jerebu,'' katanya.
''Sudah tiba masanya, kita benar-benar tegas dalam soal ini kerana walaupun kita mahu pembangunan tetapi ini tidak bermakna kita harus merosakkan alam sekitar sehingga menjejaskan kehidupan rakyat,'' katanya. - Utusan

No comments: