Monday, October 1, 2007

Pelaporan alam sekitar syarikat belum memuaskan

KONSEP pelaporan alam sekitar mula diberikan perhatian di Rio de Janeiro ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganjurkan Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan tahun 1992. Persidangan yang mendapat julukan `Rio Earth Summit' mengesyorkan agar pelaporan dibuat setiap tahun bagi memantau kesan industri ke atas alam sekitar. Ia mendapat sambutan baik seluruh dunia dan banyak syarikat melaksanakannya termasuk segelintir di Malaysia.
Pelaporan ini menuntut industri melaporkan kesan-kesan aktiviti syarikat ke atas alam sekitar dan langkah-langkah yang diambil untuk mengatasinya. Berdasarkan amalan industri, pelaporan ini turut dimuatkan di dalam laporan tahunan syarikat seperti yang dilakukan oleh Golden Hope Plantation Bhd. (Golden Hope). Tetapi ada juga yang mengambil inisiatif untuk menerbitkan pelaporan khas alam sekitar seperti Shell Malaysia.
Status pelaporan di Malaysia
Malaysia ketika ini tidak mewajibkan syarikat-syarikat membuat pelaporan alam sekitar dan setakat ini, tiada tumpuan dibuat ke arah pelaporan komprehensif. Berdasarkan kajian ``Keadaan Laporan Alam Sekitar Korporat di Malaysia'' yang dijalankan oleh ACCA, apa yang boleh dikaitkan dengan penggubalan undang-undang alam sekitar ialah Akta Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja (Occupational Safety and Health - OSH), syarat-syarat penyenaraian BSKL dan Standard Perakaunan Malaysia (Malaysian Accounting Standard - MAS).
OSH meliputi soal keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja-pekerja semasa di tempat kerja. Di bawah akta tersebut, Peraturan Kecil 17 menghendaki syarikat mendedahkan maklumat yang berkaitan dengan soal keselamatan peribadi dan ini termasuklah sebarang situasi yang melibatkan pekerja dan alam sekitar. Peraturan Kecil 22, Pengawalan Pencemaran Utama Industri juga turut menghendaki syarikat-syarikat pembuatan memaklumkan kepada masyarakat perkara-perkara yang berkaitan dengan ciri-ciri dan keadaan kemalangan yang besar meliputi kesan-kesan yang bakal timbul ke atas populasi dan juga alam sekitar.
Bursa Malaysia telah meminda syarat penyenaraian syarikat seperti termaktub di bawah Bab 9 - Pendedahan Maklumat Berterusan dan Bab 15 - Makluman Tadbir Urus Korporat. Menurut pindaan ini, walaupun syarat penyenaraian tidak menghendaki sebarang makluman alam sekitar secara terperinci, tetapi senarai ini memerlukan laporan umum untuk sebarang potensi ataupun faktor yang boleh mempengaruhi prestasi kewangan sesebuah syarikat. Ini berlainan sekali dengan Akta Syarikat 1965 yang hanya menyediakan panduan pengendalian syarikat dan tidak menuntut sebarang pelaporan alam sekitar.
MASB yang menjadi mekanisme pengawalan peraturan dan amalan perakaunan di Malaysia menggariskan dengan jelas akan keperluan pelaporan alam sekitar. Perenggan 10 MASB 1 merujuk kepada `pelaporan alam sekitar dan penyataan nilai tambahan'. Fasal ini menggalakkan syarikat melaporkan maklumat tambahan sekiranya pihak pengurusan yakin bahawa maklumat itu akan membantu pengguna membuat keputusan yang bercirikan ekonomi. Selain itu, MASB 20 merujuk kepada peraturan perakaunan dan keterbukaan maklumat yang mengambil kira soal liabiliti kontigen.
Walaupun ia tidak menyatakan secara jelas apakah jenis liabiliti yang harus dimaklumkan, namun peraturan ini menyenaraikan risiko-risiko seperti tanah yang tercemar, kos penyelenggaraan pelantar minyak dan kos memasang alat penapis asap untuk mengawal pencemaran daripada operasi syarikat.
Sambutan syarikat terhadap pelaporan
Malaysia masih lagi mengkaji keperluan mewajibkan pelaporan alam sekitar di kalangan masyarakat industri. Namun begitu, beberapa syarikat telah mula mengorak langkah memasukkan pelaporan dalam laporan tahunan syarikat.
Kajian ACCA menunjukkan bahawa jumlah syarikat yang membuat pelaporan telah meningkat daripada 25 kepada 40 buah sepanjang tahun 1999 - 2001. Jumlah ini mewakili 7.7 peratus daripada jumlah syarikat yang tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia.
Sektor industri merekodkan bilangan tertinggi pelaporan iaitu sebanyak 23 peratus, diikuti sektor perladangan 18 - 19 peratus, dan sektor barangan pengguna 15 - 19 peratus. Tiada pelaporan dibuat oleh syarikat daripada sektor perlombongan, teknologi dan perhotelan.
Separuh daripada syarikat yang membuat pelaporan tersenarai dalam 100 buah syarikat paling terkemuka di Malaysia. Bagaimanapun, pelaporan alam sekitar hanya menjadi sebahagian elemen laporan tahunan syarikat.
Dalam tahun 1999 contohnya, lebih 95 peratus daripada syarikat yang melapor telah mengehadkan pelaporan alam sekitar hanya kepada satu muka surat sahaja. Tahun 2001 menyaksikan lebih 40 peratus yang melapor memuatkan lebih daripada satu muka surat untuk maklumat alam sekitar. Secara umumnya, peningkatan ini boleh dilihat sebagai perkembangan positif yang mendedahkan kesan perindustrian kepada alam sekitar.
Terdapat juga sebilangan syarikat yang memperuntukkan segmen berasingan untuk pelaporan alam sekitar dan angka ini meningkat kepada 8 dalam tahun 2001 daripada hanya 3 syarikat dalam tahun 1999.
Secara keseluruhan, syarikat-syarikat yang melapor kebanyakannya tertumpu kepada aspek pengurusan dan pencapaian alam sekitar. Isu-isu seperti teknologi mesra ekologi, pengurusan alam sekitar, latihan, penyelidikan dan pembangunan mendapat perhatian dalam laporan yang disediakan. Hanya sebuah syarikat, iaitu Shell memberi tumpuan terhadap pembangunan mapan iaitu meminimumkan impak alam sekitar.
Terdapat dua faktor yang menggalakkan syarikat-syarikat ini membuat pelaporan alam sekitar. Pertamanya, tadbir urus korporat dan keduanya perkembangan teknologi komunikasi dan informasi (ICT).
Peningkatan mutu tadbir urus korporat mampu mengukuhkan lagi hubungan syarikat dengan pemegang-pemegang amanah harta. Pelaporan alam sekitar juga boleh menarik dan mengekalkan warga kerja yang berbakat dan berkualiti.
Perkembangan ICT memudahkan pelaporan kerana ia membantu usaha pengumpulan, menganalisis dan menerbitkan maklumat yang berkaitan dengan alam sekitar, sama ada dalam bentuk media cetak ataupun elektronik. Antara syarikat-syarikat yang menggunakan laman web sebagai alat penyebaran pelaporan ialah Golden Hope, Puncak Niaga Bhd. dan Tenaga Nasional Bhd.
Walaupun kedua faktor ini cukup besar untuk menggesa syarikat menyediakan pelaporan alam sekitar, namun hanya segelintir sahaja yang kelihatan bersungguh. Sememangnya, hakikat hanya 7.7 peratus daripada keseluruhan syarikat tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia menyediakan pelaporan amat menyedihkan. Kelembapan syarikat untuk memberi reaksi positif terhadap pelaporan sebahagiannya berpunca daripada ketiadaan perundangan yang mewajibkan pelaporan ke atas syarikat. Selain itu, pelaporan alam sekitar merupakan fenomena baru di mana perkembangannya masih lagi terhad.
* Artikel ini disediakan dengan kerjasama Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

No comments: