Wednesday, October 31, 2007

Keselamatan Alam Sekitar

TINDAKAN kerajaan mengumumkan perubahan mengetatkan kadar hukuman ke atas kesalahan pencemaran toksik dan meletakkan pengawalan yang ketat di pintu-pintu sempadan Malaysia adalah satu pendekatan yang mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam usaha menghadapi ancaman keselamatan bentuk baru.
Terma ‘masalah alam dan sekitar’ dahulunya sering kali dirujuk kepada masalah-masalah pencemaran, pembuangan sampah, pencemaran sungai dan sebagainya.
Namun kita tidak sedar bahawa terma ‘alam dan sekitar’ ini adalah konsep yang merangkumi manusia, alam sekeliling dan aktiviti ketamadunan.
Terma ini secara langsung membawa kepada penjelasan bahawa konsep keselamatan alam sekitar merangkumi melindungi manusia dan alam yang didiami daripada ancaman dan bahaya.
Dengan perkataan lain, konsep keselamatan alam sekitar tidak lagi tertumpu kepada isu-isu pencemaran tetapi juga ia turut merangkumi bencana alam, kepupusan sumber, penebangan hutan secara tidak terkawal, kestabilan ekonomi, jenayah rentasi sempadan, pemberontakan, penyakit dan sebagainya.
Malah di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun, isu-isu ini telah diutamakan sebagai elemen dalam keselamatan negara.
Bencana alam yang mampu meragut kestabilan ekonomi, tamadun dan nyawa, kepupusan sumber yang mampu membawa kepada pencetusan konflik antara negara, kegiatan jenayah merentasi sempadan yang menggugat keselamatan dan kedaulatan sesebuah negara merupakan contoh kemampuan isu-isu ini menggugat kestabilan dan keselamatan negara yang dikategorikan sebagai isu bukan tradisional.
Realitinya keperihatinan kerajaan terhadap masalah alam sekitar bukanlah pendekatan yang sia-sia, sebaliknya kita perlu sedar ia adalah pendekatan yang sama sepertimana yang telah diambil oleh negara-negara maju terhadap isu-isu bukan tradisional.
Dengan kata lain, Malaysia pada ketika ini telah mula mengorak langkah memperkukuhkan konsep keselamatan negara seiring dengan pendekatan negara-negara maju dalam soal keselamatan dan kedaulatan negara.
Tindakan kerajaan yang mengetatkan kawalan di pintu-pintu sempadan negara adalah usaha untuk mengatasi cabang-cabang isu bukan tradisional seperti jenayah merentasi sempadan, pencerobohan, pendatang tanpa izin, penyeludupan, dadah, penyakit, jenayah awam dan sebagainya.
Usaha ini bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan rakyat dan negara dapat dikekalkan dan diperkukuhkan.
Pencemaran
Teguran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyentuh mengenai masalah pencemaran alam sekitar di Malaysia melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap isu-isu alam sekitar yang semakin lama dilihat akan menggugat keselamatan rakyat dan negara.
Kita dapat lihat dengan jelas pendedahan-pendedahan oleh media massa terhadap isu-isu keselamatan alam sekitar yang pada ketika ini telah menjadi sebagai cabaran besar kepada negara.
Apa yang menyedihkan ialah keprihatinan kerajaan dan pendedahan-pendedahan yang dibuat oleh media massa terhadap isu alam sekitar tidak dijadikan sebagai teladan dan pengajaran, sedangkan isu-isu ini yang menggugat keselamatan rakyat dan negara.
Di negara-negara maju, masalah alam sekitar merupakan salah satu komponen keselamatan negara dan ia bukan lagi dianggap sebagai isu keselamatan ‘remeh- temeh’.
Sebaliknya isu-isu ini dilihat sebagai masalah yang mampu mengancam kestabilan, keselamatan dan kedaulatan negara. Konsep keselamatan alam sekitar sebenarnya merupakan konsep yang berkembang seiring dengan perkembangan ancaman-ancaman terhadap sesebuah negara.
Ketika era Perang Dingin (1945-1991) masalah alam sekitar merupakan ‘topik’ yang tidak mendapat perhatian masyarakat dunia.
Namun keruntuhan persaingan kuasa Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat pada tahun 1991, dunia global mula memperkembangkan konsep keselamatan negara yang mana ia turut melibatkan ancaman-ancaman bukan tradisional.
Tamatnya persaingan kuasa di peringkat antarabangsa telah mempengaruhi negara dunia termasuk Malaysia untuk melihat dan menilai semula konsep keselamatan negara.
Justeru, masalah-masalah alam sekitar seperti pencemaran, penyakit (AIDS, JE, SARS, dan lain-lain), penebangan hutan, ekonomi, jerebu, bencana alam, kekurangan sumber, perebutan sumber dan sebagainya telah dilihat mampu mengancam keselamatan negara. Bagaimana isu-isu ini mampu menggugat keselamatan negara?
Sebagai contoh masalah sumber air yang pernah dianggap sebagai isu ‘remeh-temeh’ terbukti mampu membawa sesebuah negara ke kancah peperangan.
Perebutan sumber air Sungai Tigris dan Eupharates pernah membawa Iraq, Turki dan Syria menghadapi konflik. Sungai Nil yang merupakan nadi bagi Timur Tengah dan Afrika pernah mencetuskan konflik antara Mesir, Habsyah dan Sudan.
Manakala di Malaysia, isu air yang melibatkan Kuala Lumpur-Singapura pernah membawa kedua-dua negara ke kancah ketegangan dan risiko konflik antara negara.
Masalah jerebu yang melanda Asia Tenggara pada tahun 1997, 2003 dan 2006 yang berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka di wilayah Indonesia telah menjadi isu yang menggugat keselamatan negara serantau khususnya Malaysia yang terpaksa menanggung kos dan kerugian yang besar bagi menghadapi masalah alam sekitar iaitu jerebu.
Ia jelas memperlihatkan kedaulatan dan keselamatan negara tercabar dengan ancaman isu-isu bukan tradisional.
Malah isu-isu ini sekiranya tidak ditangani, ia akan mencabar kedaulatan dan meletakkan negara dalam risiko menghadapi ancaman keselamatan.
Perluasan konsep ancaman keselamatan negara yang melibatkan isu-isu bukan tradisional telah meletakkan Malaysia di landasan kestabilan dan jaminan keselamatan.
Isu-isu bukan tradisional ini perlu diperjelaskan dan disebarkan kepada rakyat dengan secara meluas sebagai elemen yang mampu mengganggu gugat keselamatan negara.
– MOHAMAD FAISOL KELING,
Fakulti Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia.

No comments: