Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (Yang melawat Beijing, China, baru-baru ini)
DAPAT difahami kegembiraan China semasa ia diumumkan berjaya menjadi tuan rumah kepada penganjuran Sukan Olimpik 2008.
Pengumuman yang dibuat oleh Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Juan Antonio Samaranch di Moscow pada 14 Julai 2001 itu segera disambut dengan sorakan, nyanyian dan pesta oleh sebahagian besar penduduk China.
China sebenarnya telah lama mengidamkan untuk diberikan tugas sebegitu, menjadi tuan rumah Sukan Olimpik memandangkan ia percaya kepada keupayaannya sendiri.
Turut berusaha memenangi hati anggota IOC bersama-sama Beijing untuk penganjuran Olimpik 2008 ialah Toronto (Kanada), Paris (Perancis), Istanbul (Turki) dan Osaka (Jepun). China pernah tewas dua undi kepada Sydney bagi penganjuran Sukan Olimpik 2000.
Menganjurkan sukan sebegitu hebat seperti Olimpik tentulah memberi makna yang besar dari segi martabat, ekonomi dan prestij, apalagi buat China yang mempunyai 1.2 bilion penduduk dan sering dikritik kerana rekod hitam hak asasinya.
Kita di Malaysia sendiri sudah merasai betapa kesan positif yang dibawa oleh Sukan Komanwel 1998 dari segi pembinaan bangsa dan negara.
China yang kini menerima pelaburan asing terbesar di dunia diramalkan lambat- laun akan menjadi kuasa besar ekonomi. Olimpik 2008 pasti akan menjadi pemangkin untuk mencapai matlamat berkenaan.
Dalam pada itu, di kalangan negara Asia, China belum pernah menjadi tuan rumah bagi Olimpik moden sejak ia diperkenalkan pada 1896. Sejarahnya, Olimpik dua kali diadakan di Asia, di Tokyo pada 1964 dan Seoul pada tahun 1998. Kini, peristiwa meraikan kegembiraan mendapat hak penganjuran Sukan Olimpik 2008 itu telah lama berlalu. Malahan, tuan rumah kepada sukan Olimpik 2012 telah pun diketahui, diserahkan kepada London.
Tinggal kurang daripada setahun sahaja lagi dari sekarang, China akan menunjukkan kepada dunia bahawa ia benar-benar boleh menganjurkan sukan paling berprestij di dunia itu. Kesediaan Beijing dapat dilihat dari segi fizikal, semangat dan teruja warga-warga di negara tersebut.
Berkesempatan melawat Beijing baru-baru ini, penulis dapat melihat bahawa ibu kota negara China, yang dulunya dikenali sebagai Peking itu benar-benar komited untuk memberikan ‘sesuatu’ kepada dunia semasa penganjuran itu nanti.
Sukan Olimpik 2008 bertemakan Satu Dunia, Satu Impian (One World, One Dream) akan diadakan di Beijing bermula 8 Ogos 2008.
‘‘Sebelum ini, pihak kerajaan berjanji bahawa semasa Sukan Olimpik 2008, di Beijing nanti tidak akan dilitupi asap atau kesesakan lalu lintas.
‘‘Usaha ke arah itu telah dilakukan,’’ kata Liu Qi, Setiausaha Parti Komunis Beijing, seperti yang dipetik oleh majalah bulanan dwibahasa, Beijing Time.
Kata beliau, yang juga merupakan Datuk Bandar Beijing, pembinaan lebih banyak jalan, laluan kereta api bawah tanah merupakan antara persiapan untuk mengatasi masalah kesesakan sekali gus persediaan menghadapi temasya itu.
Beijing juga kelihatannya memulakan langkah dengan baik dalam usaha memperbaiki kualiti udara sejak beberapa tahun lalu dan situasi itu bertambah baik dari semasa ke semasa.
Dalam hal ini, Zhou Rong dari Institut Alam Sekitar dan Pencemaran berkata, dengan jumlah pemilik kereta terus bertambah di bandar raya yang mempunyai 15 juta penduduk, beberapa langkah lain juga perlu diambil untuk memperbaiki kualiti udara. Bilangan penduduk sejumlah 15 juta orang menjadikan Beijing sebagai tempat kedua terpadat di China selepas bandar raya Shanghai.
Tambahnya, sebanyak 9,000 kawasan pembinaan Beijing diarahkan oleh kerajaan agar menutup kawasan-kawasan berpasir dan berdebu bagi mengelak ia mencemari ruang udara.
‘‘Pada masa sama, syarikat pembinaan yang mempunyai kadar pencemaran alam sekitar paling tinggi seperti kilang besi Beijing Shougang telah dipindahkan daripada bandar raya itu.
“Semuanya adalah menjadi sebahagian persediaan Beijing menganjurkan Sukan Olimpik,’’ katanya seperti dipetik dalam temu bual siaran langsung program Dialogue di China Central Television Corporation (CCTV) baru-baru ini.
China akan menyambut hampir 500,000 pelawat asing dan sejuta penduduk tempatan sewaktu berlangsungnya temasya itu, menurut anggaran kerajaan.
Sementara itu, dalam Newsweek bagi edaran bertarikh 13 Ogos, majalah mingguan itu turut menyiarkan betapa kerajaan China berhabis untuk program menghijaukan bandar raya Beijing demi Olimpik 2008.
Laporan oleh Melinda Liu itu menyebut bahawa sebanyak 12 bilion yuan diperuntukkan untuk mengindahkan kawasan perumahan, taman dan perbandaran, tidak ketinggalan memberi ‘sinar terang’ kepada lampu-lampu serta meletakkan pokok-pokok.
Dan, semasa di Beijing baru-baru ini, dapat dilihat bahawa ibu kota China itu seolah-olah bertukar wajah.
Keadaan persekitarannya bersih. Pokok-pokok dibiarkan tumbuh tinggi memberi teduh tetapi dijaga daun-daunnya agar tidak menjadi longgokan sampah.
Tidak kelihatan sampah sarap atau pemandangan mencacatkan imej terdapat di tempat-tempat tumpuan pelancong seperti Dataran Tiananmen, Tembok Besar China, Summer Palace dan Forbidden City.
Di kalangan warganya pula, mereka kelihatan lebih berdisiplin di mana penulis tidak terserempak dengan adegan ‘tipikal’ penduduk China iaitu meludah merata-rata tempat.
Pendek kata, panorama Beijing kelihatan indah, menarik dan harmoni, tidak ketinggalan meriah di sana sini dengan logo Olimpik – lima bulatan warna biru, hitam, kuning, hijau dan merah.
Turut menggambarkan keterujaan Beijing mengalu-alukan Olimpik 2008 ialah betapa kempen pemasarannya begitu rancak sekali.
Dapat dilihat di mana-mana – daripada kedai biasa sehingga di hotel-hotel, tempat tumpuan pelancongan, cenderahati memaparkan maskot Olimpik 2008– Bei Bei, Jing Jing, Huan Huan, Ying Ying dan Ni Ni dijual kepada umum.
Cenderahati seperti rangkaian kunci, kemeja T, topi dan pin laris dijual dan mendapat permintaan tinggi.
Logiknya pula, pemasaran untuk barangan Olimpik 2008 itu bakal meraih untung berjuta-juta dolar.
Laporan sebelum ini memetik IOC sebagai menjangkakan Beijing mampu mengatasi rekod keuntungan yang dicatatkan oleh Los Angeles ketika menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 1984 iaitu AS$220 (RM831.6 juta).
Dalam pada itu, tinjauan ke stadium utama, dikenali sebagai National Stadium di Beichen Road mendapati, kerja-kerja pembinaan masih dijalankan dan tidak dibuka kepada awam.
Stadium itu nanti berupaya menempatkan seramai 90,000 pengunjung.
Di kalangan warganya sendiri, James Wang Li, seorang pemandu pelancong, mengakui sangat teruja menantikan Olimpik 2008.
‘‘Pelancong yang saya bawa rata-rata bertanya pandangan saya mengenainya. Jawab saya, Beijing ternanti-nanti dan sangat gembira menunggu detik itu.’’
Wednesday, October 31, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment