Oleh ARSHAD KHAN (WARTAWAN UTUSAN)
PULAU Tioman boleh dianggap antara pulau peranginan yang paling berpotensi bukan sekadar di Pantai Timur tetapi juga untuk seluruh negara.
Kecantikan pantai, laut dan pulau menjadikan ia begitu digemari bukan sahaja pelancong tempatan tetapi juga pelancong luar negara.
Usaha pihak kerajaan dan beberapa agensi seperti Kastam Diraja Malaysia yang baru-baru ini membuka sebuah jeti baru bagi memudahkan pelancong untuk terus turun dan daftar masuk ke Berjaya Tioman Beach, Golf & Spa Resort mencerminkan kesungguhan semua pihak untuk memajukan pulau itu.
Seperti kata Pengurus Besar Berjaya Tioman Beach, Golf & Spa Resort, Gordon Koh, sistem pengangkutan yang lebih baik terutama di pintu masuk di tanah besar pasti akan membawa kemasukan pelancong dalam jumlah yang lebih ramai lagi.
Apabila Kerajaan Persekutuan mencadangkan pembinaan sebuah lapangan terbang baru di pulau itu pada tahun 2003, ia disambut dalam nada berbeza, ada yang mengalukan, ada yang bimbang.
Tidak kisah apa pun reaksinya, namun kini, selepas empat tahun, masih belum ada sebarang tanda-tanda nyata lapangan terbang itu akan dibina.
Persoalan penting, apa sudah jadi dengan lapangan terbang baru bernilai RM150 juta di Pulau Tioman seperti yang diuar-uarkan empat tahun lepas?
Mengikut perancangan, lapangan terbang baru itu bakal dibina di Kampung Paya pada 2003 sebaik sahaja kajian terhadap penilaian kesan alam sekitar (EIA) selesai dijalankan.
Projek itu juga dilihat bakal merancakkan lagi industri pelancongan di pulau bebas cukai itu.
Namun selepas empat tahun berlalu, tidak terdapat sebarang tanda yang menunjukkan projek berkenaan akan dilaksanakan.
Status lapangan terbang baru itu kini bukan sahaja menjadi persoalan kepada para penduduk Pulau Tioman, malah kepada pihak kerajaan negeri, yang sebelum ini telah pun bersetuju dengan projek Kerajaan Persekutuan itu.
“Projek itu merupakan projek Kerajaan Persekutuan, sehingga kini kita tidak dimaklumkan sama ada projek itu akan diteruskan atau tidak, kita (kerajaan negeri) telah pun bersetuju pada peringkat awal,” kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak kepada Utusan Malaysia.
“Sehingga kini kami tidak dimaklumkan secara rasmi berhubung status pembinaan itu,” katanya.
Pada 27 April 2003, Menteri Kewangan Kedua ketika itu, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis berkata projek pembinaan lapangan terbang baru itu akan dimulakan pada tahun itu juga, sebaik sahaja kajian terhadap penilaian kesan alam sekitar (EIA) selesai dijalankan.
Jamaludin berkata ia akan dibina di atas laut dan selari dengan kawasan pantai dan kawasan landasan lapangan terbang itu boleh mendaratkan beberapa pesawat Boeing 737.
Malah, kerajaan juga akan menjadikan Lapangan Terbang Tioman yang sedia ada di Kampung Tekek sebagai kawasan pusat membeli-belah.
Jamaludin dipetik berkata keputusan membina lapangan terbang baru dibuat kerana lapangan terbang yang sedia ada di Kampung Tekek dilihat sebagai tidak lagi sesuai.
Perhubungan
“Kerajaan telah bersetuju mengganti (lapangan terbang) yang dah ada, yang berbahaya kerana ia (pesawat akan) turun di kaki bukit.
“Jadi untuk memajukan (pulau itu) mesti ada perhubungan udara, darat dan laut yang baik. Jika tidak, ia tidak ada nilai tambah, kita mesti pasarkan pulau itu, orang akan tanya apakah perhubungan untuk ke pulau itu,” kata Jamaludin.
Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman, Datuk Hashim Mat Tahir turut bersetuju bahawa pembinaan lapangan terbang baru itu akan menjadi pemangkin bagi menarik lebih ramai lagi pelancong ke pulau bebas cukai itu.
Mengikut statistik terkini, hampir 300,000 pelancong berkunjung ke pulau yang disenaraikan 10 tercantik di dunia itu, dan 80 peratus daripada jumlah itu menggunakan pengangkutan laut.
Ketika ditanya sama ada penduduk Pulau Tioman mengharapkan projek itu menjadi kenyataan, Hashim berkata majoritinya menyokong: “Ada juga yang menentang, tapi seperti juga projek pembinaan marina di kampung Tekek, apabila sudah siap, mereka tahu, projek itu menguntungkan industri pelancong di sini.”
Sebelum ini (pada tahun 2004), projek pembinaan marina bernilai RM40 juta turut mendapat bantahan pelbagai pihak yang khuatir projek itu akan menjejas batu karang di taman laut di situ.
Sementara itu pelbagai pihak termasuk penduduk pulau berkenaan berharap projek itu dapat dilaksanakan seperti yang dirancang bagi merancakkan lagi industri pelancongan di pulau itu.
Seorang penduduk, Abdul Latif Salam, 45, dari Kampung Mukut di sini berkata, beliauyakin lebih ramai lagi pelancong luar akan mengunjungi pulau itu sekiranya kemudahan lapangan terbang yang baru dibina.
Pulau Tioman diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai pada 1 September 2002.
Ia menjadikan pulau itu setanding dengan Pulau Batam dan Bintan di Indonesia yang berjaya menarik ramai pelancong luar terutamanya Singapura.
Namun hakikatnya kini, hasrat penduduk Pulau Tioman untuk melihat pesawat-pesawat Boeing 737 yang membawa lebih ramai pelancong luar mendarat di lapangan terbang baru pulau itu masih jauh.
No comments:
Post a Comment