Oleh Mohd Azrone Sarabatin
Premis langgar akta diarah henti salur habuk kayu, minyak hitam terpakai hingga cemar Kuala Merotai, jejas nelayan
KOTA KINABALU: Empat kilang papan yang dikesan mencemar Kuala Merotai di Tawau sehingga menyebabkan 2,000 nelayan kecil kehilangan sumber pendapatan, disahkan melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Abdul Razak Abdul Manap, berkata pihaknya sudah mengarahkan kilang terbabit menghentikan pembuangan habuk kayu dan minyak hitam terpakai ke kuala itu serta-merta.
Katanya, semua kilang terbabit sudah dikenakan tindakan penguatkuasaan iaitu kompaun dan notis arahan supaya menghentikan kegiatan pembuangan bahan berkenaan bagi mengatasi pencemaran Kuala Merotai.
Sekiranya pengurusan kilang terbabit melanggar arahan itu, katanya, tindakan tegas akan dikuatkuasakan dengan memfailkan kes berkenaan di mahkamah.
"Siasatan JAS Tawau mendapati semua kilang terbabit melanggar Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan peraturan mengikut akta berkenaan," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
Siasatan terhadap kilang terbabit adalah susulan laporan akhbar ini pada 20 Julai lalu yang mendedahkan nelayan kecil Bumiputera di Kuala Merotai kehilangan sumber pendapatan tetap, angkara kerakusan kilang papan yang membuang sisa industri di tebing sungai yang kemudian dihanyutkan ke laut.
Pembuangan sisa industri membabitkan serpihan kayu balak dan papan dikesan mengandungi bahan kimia menyebabkan Kuala Merotai kehilangan sumber perikanan yang selama ini menjadi sumber rezeki penduduk setempat.
Justeru, lebih 2,000 nelayan yang mencari rezeki di situ mahukan pembelaan supaya pihak berkuasa mengarahkan kilang terbabit menghentikan operasi.
Mengenai kematian ikan yang diusahakan Keluarga Isi Rumah Termiskin (KIRT), Abdul Razak berkata, pihaknya menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa lain termasuk Jabatan Perikanan negeri.
"Mengikut Akta Alam Sekeliling 1974, sesiapa yang didapati membuang bahan pencemar seperti efluen kilang sawit atau getah melebihi had boleh didenda kurang RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Sekiranya pihak terbabit melakukan kesalahan melupuskan bahan buangan terjadual seperti minyak pelincir terpakai atau bahan klinikal, mereka boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment