Thursday, September 13, 2007

RM9.09 juta indahkan sungai

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memperuntukkan RM9.09 juta untuk mengindahkan sungai dan kawasan sekitar dalam Kempen Kesedaran Alam Sekitar dan Pemulihan Sungai.

Setiausaha Parlimennya, Datuk Sazmi Miah berkata, kementeriannya juga mengadakan kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam memperkasakan setiap kempen pencemaran terutamanya pencegahan dan pemulihan.

“Penguatkuasaan ditekankan terutama dalam memantau pencemaran lembangan sungai untuk memastikan tiada sumber air utama yang tercemar.

“Kementerian juga mengambil pendekatan bersepadu melalui pelbagai agensi dengan menetapkan garis panduan, rujukan dan undang-undang supaya kawasan tadahan ini dapat diurus dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan asal Datuk Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) yang meminta kementerian mengemukakan langkah dan cadangan masa depan untuk memastikan sumber air tidak tercemar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, dalam aspek pemulihan sungai, pihak kementerian juga menjalankan pelbagai aktiviti dan projek pemulihan sungai-sungai yang telah dicemari.

“Program-program yang telah dijalankan oleh kementerian ialah pembinaan perangkap sampah dan perangkap keladak.

“Kawalan kumbahan dan sisa pepejal dilakukan dengan pemasangan Sistem Penapis Sisa Makanan (FOG) untuk semua premis makanan dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Sazmi memberitahu, kementerian juga menjalankan kerja-kerja pemuliharaan sungai untuk mengembalikan ekosistem sungai.

Menjawab soalan tambahan Datuk Markiman Kobiran (BN-Hulu Langat) tentang kedudukan kilang haram dan rumah setinggan yang terletak di tebing sungai sekali gus menyumbang kepada pencemarannya, Sazmi mengakui hubungan kementeriannya masih longgar dengan majlis perbandaran negeri.

“Satu koordinasi akan dibuat untuk memastikan kerjasama dapat dibentuk daripada semua pihak dan masalah ini dapat diselesaikan dengan segera,” ujarnya

No comments: