Wednesday, August 15, 2007

Ammonia jadi beban pencemaran sungai

RENCANA
Oleh ZAINI UJANG
15/02/2007
PENCEMARAN Sungai Langat adalah suatu tragedi yang perlu ditangani dengan serius oleh semua pihak. Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia semalam, air sungai itu disahkan mengandungi kandungan ammonia yang tinggi iaitu 9.7 miligram setiap liter.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Abdul Fatah Iskandar menyebut bahawa loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) gagal berfungsi menyebabkan berlaku pelepasan air kumbahan yang mencemarkan sungai serta menjejaskan operasi dua buah loji rawatan air di Bukit Tampoi, Sepang dan Batu 11, Hulu Langat.

Dari segi teknologi, loji kumbahan tidak sukar untuk direka bentuk, atau dibina, untuk menyingkirkan ammonia, asalkan pembiayaannya mencukupi. Banyak teknologi telah dibangun dan digunakan dengan meluas di pelbagai negara menghasilkan risiko dan kesan alam sekitar yang minimum. Dalam konteks perbincangan ini, pada hemat saya, isu yang lebih relevan untuk difahami dan dihayati adalah (a) konsep kawasan tadahan hujan dan (b) beban pencemaran.

Pengurusan lembangan sungai merupakan isu pokok dalam kes ini. Pelbagai aktiviti, loji dan operasi guna tanah yang berisiko mencemarkan sungai tersebut terletak di hulu loji pengolahan air.

Dari segi konsep, kawasan huluan dalam sesuatu tadahan hujan haruslah bebas daripada aktiviti-aktiviti yang berkemungkinan boleh mencemarkan kualiti air. Di kebanyakan negara yang maju dari segi pengurusan air, sebagai contoh Jepun dan Australia, hanya aktiviti pembalakan dan pertanian sahaja yang dibenarkan ditempatkan di hulu loji rawatan air.

Jika kawasan tersebut terdapat kawasan perumahan maka air kumbahan akan dialirkan ke loji kumbahan yang ditempatkan hilir lokasi loji rawatan air tersebut. Dalam keadaan sedemikian pun ada masalahnya, iaitu pencemaran sisa pestisid dan baja dari ladang, serta kandungan bahan organik asli dari kawasan hutan.

Biasanya, loji rawatan air sisa, termasuk kumbahan yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar hanya merawat 23 bahan cemar air, yang merangkumi dua parameter sisa organik, pepejal terampa, parameter fizikal, bahan kimia dan logam berat. Dari segi perundangan, bahan-bahan organik seperti ammonia, nitrat, nitrit dan fosforus tidak termasuk dalam senarai yang perlu disingkirkan.

Sehubungan itu, hampir semua loji kumbahan dan sisa industri di Malaysia tidak direka bentuk untuk merawat ammonia dan bahan-bahan yang tidak tersenarai dalam Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Efluen Industri) 1979.

Persoalannya, air sungai yang mengandungi kandungan ammonia melebihi 1.5 miligram seliter tidak sesuai dijadikan sumber air minuman. Ini kerana operator loji rawatan air terpaksa menggunakan bahan kimia yang banyak yang pasti meningkatkan kos operasi.

Selain itu, ammonia seringkali dijadikan petunjuk untuk menandakan bahan cemar berasal dari sumber najis.

Bagi mengatasi masalah ini, saya mencadangkan agar pindaan terhadap Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Efluen Industri) 1979 itu diperbaharui dengan memasukkan komponen nutrien.

Dalam hal ini, kita juga perlu memberi penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dan syarikat IWK sebagai operator loji kerana telah mengambil inisiatif proaktif dengan mensyaratkan penyingkiran sebatian nitrogen termasuk ammonia dalam reka bentuk loji yang terbaru, termasuk loji berpusat di Jelutong dan Port Dickson.

Isu kedua ialah tentang beban pencemaran (pollution loading). Bagi banyak pihak, termasuk pihak penguat kuasa di negara ini, beban pencemaran tertumpu kepada aspek kualiti atau kepekatan najis atau sesuatu jenis sisa dalam unit tertentu, biasanya miligram bagi setiap liter.

Itulah unit yang digunakan dengan meluas termasuklah dalam peruntukan perundangan yang ada kini di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Efluen Industri) 1979. Saya kira kita perlu menghormati perundangan dan standard yang ada, tetapi kita juga tidak wajar berlapang dada kerana ilmu dan kemahiran dalam bidang ini kian berkembang. Banyak yang boleh kita pelajari dan perbaiki.

Dalam hal ini saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan agar beban pencemaran untuk efluen di negara ini dikaji untuk dipertingkatkan lagi tahap keberkesanannya. Bagi jurutera reka bentuk, beban pencemaran yang lebih penting ialah kuantitinya, tidak sekadar kualiti efluen. Jika kuantitinya tinggi tetapi kepekatan bahan cemarnya masih rendah yang mematuhi Standard A misalnya, tidak bermakna efluen tersebut tidak mencemarkan sungai.

Ini kerana keupayaan sungai untuk menjalani proses pembersihan sendiri (self-purification) lebih banyak bergantung kepada kuantiti airnya.

Oleh yang demikian, ada rasionalnya agar peraturan yang ada kini dikaji semula kerana pengalaman kita menguruskan sungai dan menjalankan penyelidikan yang berkaitannya mendapati bahawa beban pencemaran dari aspek kualiti tidak mempunyai impak yang langsung kepada kebersihan sesuatu sungai atau laut.

Dalam konteks kumbahan dan sisa industri termasuklah sisa premis pemotongan babi, aspek kuantiti lebih signifikan. Jika kualiti efluen itu rendah daripada Standard B tetapi kecil dari segi kuantitinya, ia kurang mencemarkan sungai berbanding dengan efluen yang tinggi kuantitinya walaupun kualitinya mematuhi Standard A sekalipun.

Di kebanyakan negara maju, kebenaran untuk beroperasi bagi sesuatu loji rawatan kumbahan atau sisa industri juga tidak lagi terlalu terikat kepada sesuatu standard. Ia lebih banyak bergantung kepada keupayaan sebatang sungai untuk menampung beban pencemaran.

Ini bermakna, penetapan dan penguatkuasaan Sandard A atau B dalam konteks Malaysia, kurang impaknya untuk memastikan sungai bebas daripada pencemaran. Saya ingin mencadangkan supaya prinsip beban pencemaran (waste load allocation) dijadikan panduan untuk kelulusan sesebuah loji rawatan air sisa.

* PROFESOR IR. DR. ZAINI UJANG Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air, Universiti Teknologi Malaysia.


POSTED BY NOR HIDAYAH MOHD(SEP06007)

No comments: